Umrah

JOM! KE TAMAN RAUDHAH

By Wan Syazwan on 25 May 2019

Jika anda mendengar sejarah Nabi SAW, pasti anda jatuh cinta dengan Madinah. Tempat itu, tenang, damai dan indah tak terungkap dengan kata-kata, apatah lagi jika berada di dalam Masjid Nabawi, Raudhah dan Makam Rasulullah S.A.W. Setiap orang tentu ada cerita tersendiri apabila kali pertama kaki melangkah ke dalam Raudhah dan menziarahi makam junjungan mulia.

Cara mengenali Raudhah ialah dengan memastikan kita sudah berada di permaidani hijau kerana permaidani masjid di bahagian yang lain semuanya berwarna merah. Ia juga dikenali dengan tiang-tiang berwarna putih. Raudhah adalah kawasan yang dianugerahkan Allah S.W.T. sebagai tempat yang sangat makbul berdoa. Walaupun berdoa itu boleh di mana-mana, namun berdoa di Raudhah mempunyai kelebihan tersendiri kerana ianya tapak asal Masjid Nabawi yang semasa hayat Baginda S.A.W yang pernah mengimami solat, menerima wahyu dan menyampaikan ilmu kepada para sahabat.

Di Raudhah juga terdapat lapan tiang yang mempunyai sejarah tersendiri. Diceritakan ia dibina semasa pemerintahan Sultan Abdul Majid Al-Othmani. Antara tiang-tiang tersebut adalah Ustuwanah Al-Mukhallaqah iaitu tiang yang sentiasa dijaga keharumannya. Musalmah Al-Akwa dikatakan sentiasa solat di situ kerana beliau melihat Nabi SAW pernah solat di situ. Lain-lain tiang adalah tiang Saidatina Aisyah RA, tiang Al-Taubah atau tiang Abu Lababah yang pernah mengikat dirinya di situ selama berbelas malam selepas menyedari kesalahan yang dilakukannya.

Setiap ruang di dalam masjid begitu indah. Hamparan permaidani merah, kubah yang akan terbuka setiap kali azan berkumandang, susunan Al-Quran di atas rak tembaga bercahaya kekuningan dan chandelier bergemerlapan yang membuatkan mata tidak jemu memandang. Sememangnya Raudhah adalah tempat yang wajib dikunjungi oleh setiap jemaah umrah. Dinasihatkan sekurang-kurangnya untuk solat tahiyatul masjid atau solat sunat mutlak serta bermunajat sebelum bergerak memberi salam menziarahi makam Nabi SAW.

Bagaimanapun, jemaah Asia Tenggara termasuk Malaysia sering dinasihatkan agar tidak berebut sehingga menyakiti orang lain untuk masuk ke Raudhah. Kita perlu banyakkan bersabar, InsyaAllah ada laluan untuk solat dan bermunajat di situ. Apabila kita berpeluang masuk ke situ, jangan pula terus ‘berakar’ sehinggakan tidak mahu beralih memberi peluang kepada jemaah lain bermunajat di Raudhah. Oleh itu, kita sesame manusia perlu ada sifat tolak ansur walaupun sedang mencari redha Allah S.W.T.

Di sini juga kita dapat melihat pelbagai sifat dan warna manusia dan kelihatan orang ramai berebut-rebut dan bersesak-sesak untuk solat dan berdoa. Kalau dalam kehidupan biasa, kita terlalu mencari redha sesama manusia tetapi di Raudhah pula berlaku sebaliknya. Kalau tidak, mana mungkin kita dapat melihat adegan orang melangkah orang yang sedang solat, orang yang berdiri buat selamba di hadapan orang yang sedang solat, orang yang memijak dan terpijak kepala orang yang sedang sujud, orang yang disiku dan menyiku, orang yang solat tak henti-henti dan mengabaikan hak orang lain juga untuk solat di situ dan sebagainya.

Kawasannya tidaklah luas. Ia adalah bahagian di antara mimbar dan makam Nabi SAW. Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Antara mimbarku dan rumahku adalah taman dari taman-taman syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ini menunjukkan Raudhah lokasi yang mustajab untuk kita berdoa dan memohon sesuatu daripada Allah S.W.T.

Mendirikan solat di Masjid Nabawi dikatakan akan memperoleh 1,000 kali ganda pahala berbanding di masjid-masjid lain kecuali di Masjidil Haram yang memperoleh 100,000 kali ganda pahala. Berada di Raudhah bermaksud berada di Taman Syurga. Terdapat beberapa tempat lagi yg dikenal pasti tempat afdal berdoa seperti Mehrab Rasulullah S.A.W., Tiang Aisyah; "Rasulullah saw bersabda; di dalam masjidku terdapat satu tiang jikalau manusia tahu kelebihannya nescaya mereka akan mengadakan undian untuk solat disitu". Selain itu, Mimbar Rasulullah saw dan kesemua kawasan Raudhah juga tempat afdal berdoa.

Jika di Malaysia di mana adanya Taman Raudhah? Tanpa kita sedari sebenarnya Taman Raudhah itu ada berdekatan kita pada setiap hari yang berlalu. Taman Raudhah itu adalah majlis ilmu, ia sentiasa ada berdekatan dengan kita. Tidak kira saiznya, kecil atau besar, banyak atau sedikit yang menghadirinya. Walaupun hanya ada dua orang yang membincangkan tentang ilmu serta persoalan agama, itu pun sudah dikatakan majlis ilmu.