Umrah

Amalan Penghapus Dosa

By Wan Syazwan on 04 Jun 2019

Amalan Penghapus Dosa

 

Manusia adalah suatu ciptaan Allah yang Maha Hebat dan kejadian manusia ini adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT berbanding makhluk-makhluk yang lain. Firman Allah SWT dalam surah At-Tin ayat ke-4 yang berbunyi :

تَقْوِيمٍَقَدْ خَلَقْنَا ٱلْإِنسَٰنَ فِىٓ أَحْسَنِل

Bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya”.

Tetapi walaupun kita merupakan sebaik-baik ciptaan Allah, kita tetap tidak lepas daripada melakukan dosa walaupun dosa kita itu sebesar zarah sekalipun. Ini merupakan hakikat dan lumrah kita sebagai hamba Allah yang penuh dengan kelemahan, kekurangan dan tidak sempurna.

Terdapat banyak dalil yang menerangkan hakikat yang disebutkan. Antaranya ialah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda :

“Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat”. (HR Ibnu Majah)

Jadi, bagaimana untuk kita menghapuskan dosa-dosa yang telah kita lakukan sama ada kita sedar ataupun tidak? Baik, hari ini saya akan kongsikan beberapa amalan yang boleh kita praktikkan dalam seharian untuk kita hapuskan segala dosa-dosa kita dan mengelak daipada mengulanginya semula kelak.

 

Antara amalan-amalan yang boleh dilakukan untuk menghapus dosa kita ialah :

Taubat

Pengertian taubat ialah kita menyatakan penyesalan, memohon keampunan kepada Allah dan berjanji untuk tidak mengulanginya semula. Firman Allah SWT dalah surah As-Syura ayat 25 bermaksud :

“Dan Dialah (Allah) yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan

Cara untuk kita bertaubat ialah dengan memanjatkan doa memohon keampunan kepada Allah SWT ataupun melakukan solat sunat taubat. Doa paling ringkas untuk bertaubat ialah kita baca istighfar sebanyak yang boleh

 

                                                  

 

Istighfar

Istighfar ialah memohon keampunan kepada Allah dalam menyebut kalimat “Astaghfirullahal’adzim”  atau kalimat lain yang semakna dengannya. Firman Allah dalam surah Nuh ayat ke 10 yang bermaksud :

“Beristighfarlah kamu kepada Tuhanmu, Sesunggunhnya Dia adalah Maha Pengampun…”

 

Selain itu, terdapat sebuah hadith riwayat daripada Abu Daud yang berbunyi :

“Barangsiapa istighfar secara rutin, pasti Allah memberinya jalan keluardari kesempitan dan memberi rezeki yang tiada terhingga padanya”. (HR : Abu Daud)

 

                         

 

Sedekah

Sedekah boleh diertikan dengan mengeluarkan harta yang tidak wajib di jalan Allah (selain zakat). Banyak cara untuk kita bersedekah selain daripada memberikan sedikit daripada harta yang kita ada. Kita juga boleh sedekahkan sedikit llmu yang kita ada atau apa sahaja pengetahuan kepada mereka yang memerlukan.

 

                                                

Contohnya, kita membantu anak-anak yang tidak tahu membaca Al-Quran dengan mengajar mereka cara membaca dengan betul tanpa apa-apa bayaran juga dikira sebagai sedekah. Jadi, kita jangan terlalu susah untuk bersedekah kerana ia sebahagian daripada amalan yang boleh menghapus dosa-dosa kita.

 

Sabar Menghadapi Musibah/Ujian

Kadangkala Allah ingin menghapuskan dosa-dosa kita dengan cara Dia mengirimkan sedikit musibah atau ujian sama ada kita mengalami kemalangan atau ujian seperti kehilangan harta benda, kematian ahli keluarga tersayang atau penyakit.

Selama kita bertawakal kepada Allah dan bersabar di atas ujian yang dberikan maka insyaallah segala dosa kita diampunkan. Hadith riwayat Imam Ahmad ada menyebutkan :

“Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla berfirman : “ Sesungguhnya apabila Aku menguji seseorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku atas ujian yang Aku timpakan kepada-Nya, maka ia bangkit dari tempat tidurnya (dalam keadaan) bersih dari dosa seperti hari ibunya melahirkannya”. (HR : Imam Ahmad)

 

                                                           

Melakukan Amal Kebaikan

Amal kebaikan atau amal saleh seperti mengerjakan ibadah wajib (solat, zakat, puasa dna haji) dan ibadah Sunnah seperti tahajjud, menolong sesama muslim, memberikan senyuman atau menyenangkan orang lain, membaca al-Quran dan banyak lagi boleh dilakukan sebagai amalan untuk kita hapuskan dosa kita kepada Allah.

Setiiap amalan yang kita lakukan itu mestilah dengan istiqomah dan diselangi dengan amalan-amalan tambahan yang lainnya. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 114 yang bermaksud :

“Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan keburukan, yang demikian itu adalah peringatan bagi orang-orang yang ingat”.

Sabda Rasulullah SAW pula yang bermaksud : “Dan ikutilah keburukan itu dengan kebaikan kerana (pahala) kebaikan itu dapat menghapuskan (dosa) keburukan”. (HR Imam Ahmad, Tirmidzi, Hakim dan Tabrani).

Setakat ini dahulu perkongsian saya. Insyaallah, saya akan berkongsi lagi artikel-artikel saya selepas ini dan semoga segala perkongsian saya ini memberi manfaat kepada semua pembaca. Yang baik itu datang dari Allah dan segala kekurangan itu datang dari diri saya sendiri, sampai jumpa lagi. Assalamualaikum wbt.