Motivasi

ISTIQAMAH MEMBAWA BERKAT

By Wan Syazwan on 25 May 2019

Salah satu tanda jati diri seseorang dalam menghayati nilai-nilai Islam ialah wujudnya sifat istiqamah dalam realiti hidup hariannya. Sentiasa terus berpegang dengan dasar dan nilai nilai agama tanpa ragu-ragu dan mempersoalkan keabsahannya. Dia akur bahawa Islam adalah agama yang benar dan unggul serta tiada agama lain yang dapat mengatasi keunggulan dan kebenaran agama Islam.

Manusia perlu meneguhkan diri mereka dengan keutuhan beriltizam dengan nilai dan ajaran Islam. Mereka juga dituntut agar mewaqafkan diri untuk berkhidmat menghayati, menyebarkan dan mempertahankan nilai-nilai suci agama Islam.

Istiqamah merupakan suatu istilah bahasa Arab yang sering diucapkan oleh masyarakat kita khususnya umat Islam baik sebagai sebuah pesan dari seseorang untuk orang lain mahupun diucapkan ketika berdoa kepada Allah SWT. Istilah tersebut jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai “To Stand Firm”. Sikap istiqamah ini jika dimiliki oleh seseorang ia dapat dilihat dari berbagai penampilan sikap yang tertentu . Sikap itu membezakan orang berkenaan berbanding orang yang tidak memiliki sifat sedemikian.

Namun Istilah Istiqamah bukan hanya bermaksud menganut dan beragama secara bersahaja. Sebaliknya menuntut suatu bentuk pegangan yang mantap dan tuntas serta berterusan hingga ke akhir hayat. Ia adalah pernyataan kesetiaan dan keyakinan yang tidak berganjak atau konsisten.

Penegasan Allah tentang istiqamah ini sangat jelas dalam surah Hud ayat 112 dengan firmanNya:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Oleh itu, berpegang teguhlah  dengan dasar agama yang betul

sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, bersama-sama orang-orang yang taubat; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu kerjakan.

Dalam hadith riwayat Ahmad; Rasulullah menerangkan “Tidak lurus iman seseorang hamba Allah kecuali apabila lurus hatinya. Hatinya tidak mungkin lurus sehinggalah lidahnya pun ikut lurus.”

Tanda keteguhan hati (istiqamah) seseorang ialah apabila ia memelihara beberapa hal, dengan mewajibkannya atas dirinya sendiri, iaitu memelihara lidah dari mengumpat orang lain, kerana firman Allah SWT:  وَلا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا - Jangan mengumpat satu sama lain.

Selain itu, perlu menjauhkan diri dari berburuk sangka, kerana firman Allah SWT ( Al Hujurat 12) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ -Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian dari prasangka itu mengundang dosa.”

Pegangan akidah yang benar , bernilai dan membuahkan hasil yang jitu dan penuh berkat diikuti dengan penghargaan dan perlaksanaan syariat yang adil, penghayatan akhlak dan moral yang tinggi; pastilah manusia akan mendapat keberuntungan hidup di dunia dan di akhirat.

Semoga dengan perkongsian ini, jemaah dapat mengambil iktibar dan teladan. Amin Ya Rabbal Almin. Yang baik itu datangnya dari Allah SWT, yang buruk itu dari kelemahan diri sendiri. -ADMIN-