Motivasi

Lailatul Qadar

By Wan Syazwan on 04 Jun 2019

Lailatul Qadar : Keistimewaan Malam Seribu Bulan

Apabila kita menyebut bulan Ramadhan al-Mubarak pasti semua tahu, dalam bulan ini terdapatnya satu malam yang penuh dengan rahmat dan kemuliaan. Malam tersebut ialah malam lailatul qadar dimana ia lebih baik daripada seribu bulan.

Para ulama mempunyai pendapat yang berbeza mengenai tarikh tepat berlakunya lailatul qadar, namun mreka bersepakat bahawa lailatul qadar berlaku pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Jadi, hari ini saya ingin berkongsi sedikit info kepada pembaca semua tentang keistimewaan yang ada pada malam lailatul qadar ini. Antara keistimewaan tersebut ialah :

1.      Waktu Diturunkan Al-Quran.

Keistimewaan  lailatul qadar ialah pada malam tersebut Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran. Ibnu Abbas dan selainnya mengatakan “Allah menurunkan al-Quran secara keseluruhan sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur sesuai dengan peristiwa dan kejadian yang berlaku sepanjang 23 tahun”.

 

2.      Malam Yang Lebih Baik Dari 1000 Bulan

Keistimewaan malam lailatul qadar ini sangat luar biasa kerana malam ini merupakan malam yang lebih baik dari seribu bulan dan bersamaan dengan 83 tahun.

Firman Allah SWT :

Malam lailatul qadar (malam kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan”.

(Surah al-Qadr ayat 3)

 

3.      Malam Penuh Keberkatan

Malam lailatul qadar ini juga dikenali dengan malam yang penuh dengan keberkatan berdasarkan firman Allah SWT :

Sesungguhnya Kami menurunkannya pada satu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan”. (Surah ad-Dukhan ayat 3)

 

Pada malam lailatul qadar ini ramai malaikat akan turun ke bumi kerana banyaknya keberkatan pada malam tersebut dan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat.

 

4.      Turunnya Malaikat Jibril Dan Para Malaikat.

Keistimewaan lain malam lailatul qadar ini ialah ia diiringi dengan turunnya para malaikat yang diketuai oleh ‘Ar-Ruuh’ iaitu Malaikat Jibril pada malam al-Qadr dalam satu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada mereka yang berpuasa dan beribadah dengan seikhlas hati.

 

Firman Allah :

“Pada Malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka”. (Surah al-Qadr ayat 4)

 

 

 

Keistimewaan ‘Ar-Ruuh’ atau Malaikat Jibril yang disebut dalam ayat diatas menunjukkan kemuliaan (keutamaan) malaikat tersebut. Sebagaimana malaikat turun ketika ada yang membacakan al-Quran, mereka juga akan mengelilingi orang-orang yang berada dalam majlis zikir dan majlis ilmu. Para malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka pada penuntut ilmu kerana malaikat sangat mengagungkan mereka (Tafsir al-Quran al-‘Azhim, 14:407)

 

5.      Malam Kesejahteraan.

Lailatul qadar disifatkan sebagai keutamaan yang luar biasa dan kesejahteraan kerana pada malam itu para malaikat akan turun dan mengucapkan “salam sejahtera” kepada seluruh penduduk bumi.

 

Firman Allah SWT :

“Sejahteralah malam (yang penuh berkat) itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr ayat 5)

 

 

 

 

 

6.      Dicatatkan Takdir Tahunan`

Lailatul qadar juga dikenali dengan malam penulisan dan dicatatkan takdir tahunan. Imam Nawawi Rahimahullah dalam ‘Syarh Muslim’ menyatakan bahawa takdir tahunan tersebut didahului dengan ilmu dan penulisan Allah SWT. Takdir ini nantinya akan diperlihatkan kepada malaikat dan ia akan dapat mengetahui apa yang akan terjadi dan mereka akan melaksanakan tugas yang telah diperintahkan untuknya.

 

Firman Allah SWT :

“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah ad-Dukhan ayat 4)

 

Ibnu katsir dalam kitab tafsirnya menerangkan bahawa pada malam lailatul qadar tersebut akan diperhalusi di Luh Mahfuz mengenai penulisan takdir dalam setahun. Juga akan tercatat ialah ajal maut dan rezeki serta segala sesuatu hingga akhir dalam setahun.

 

Firman Allah SWT lagi :

”Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki) dan di sisi-Nyalah terdapat Umulkitab (Luh Mahfuz).” (Surah ar-Ra’d ayat 39)

 

7.      Segala Dosa Diampunkan Allah SWT.

Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar dengan ibadah dan zikrullah kepada Allah SWT, maka segala dosa-dosanya akan diampunkan.

 

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :

“Sesiapa yang menunaikan solat pada malam lailatul qadar kerana iman dan mengharapkan pahala dari Allah SWT, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Hadith riwayat Bukhari r.a)

 

Selain itu, lailatul qadar juga dikenali dengan nama ‘Lailatul Syaraf’ yang bermaksud malam kemuliaan atau ‘Lailtul Tajalli’ yang bermaksud Allah SWT melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa di siang hari dan beribadah di malam hari.

 

Setakat ini dahulu perkongsian saya berkenaan dengan lailatul qadar. insyaAllah saya akan berkongsi lagi topik-topik lain selepas ini diharapkan segala maklumat saya kongsikan ini memberi manfaat kepada pembaca semua. Sehingga bertemu lagi, yang baik itu datang dari Allah SWT dan segala kekurangan itu dari diri saya sendiri. Assalamualaikum wbt.