Motivasi

Tips Keselamatan Sebelum Pulang Beraya

By Wan Syazwan on 04 Jun 2019

Tips Keselamatan Sebelum Pulang Beraya

Apabila tiba bulan Syawal, ramai yang berasa teruja untuk pulang ke kampung halaman untuk bertemu ayah dan ibu serta sanak-saudarakan. Tetapi walau gembira macam manapun kita dan sesibuk manapun persiapan raya kita jangan kita leka untuk mengambil langkah berwaspada dalam aktiviti seharian kita untuk mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Kemeriahan semasa pulang ke kampung ditemani dengan kesesakan lalu lintas dan berkumandangnya lagu-lagu raya memang saat yang tidak dapat dilupakan. Tetapi, kalau tiada perancangan yang teliti maka kemeriahan itu akan bertukar menjadi mimpi ngeri. Bayangkan, semasa dalam perjalanan pulang ke kampung, sampai di pertengahan jalan kita baru teringat yang kita masih belum mengunci pintu dapur. Haa…boleh bayangkan tak? Tak bolehkan, jadi rancang perjalanan kita dengan baik sebelum memulakan perjalanan.

Baik, hari ini saya ingin berkongsi sedikit beberapa tips keselamatan yang penting yang perlu anda buat checklist  sebelum anda pulang ke kampung halaman.

 

1.      Buat checklist barangan yang ingin dibawa pulang.

Sebelum anda pulang ke kampung, buat satu checklist. Jika anda merancang untuk bercuti di kampung selama seminggu, anda perlu pastikan semua barangan yang ingin dibawa anda catatkan dalam senarai anda.

 

Kalau anda rasa malas nak buat senarai, anda maklumkan pada pasangan anda apa barangan yang telah anda masukkan dalam beg. Minta pasangan anda ingatkan anda jika ada barangan yang belum disimpan.

 

                            

 

2.      Servis kenderaan sebelum memulakan perjalanan

Jangan sesekali anda memulakan perjalanan anda jika anda masih belum melakukan servis pada kenderaan anda. Ini sangat penting untuk memastikan perjalanan anda lancar dan tiada masalah ketika di tengah jalan kerana breakdown. Anda boleh menghantar kenderaan anda di pusat servis kenderaan untuk pemeriksaan optimum. 

 

                                      

 

3.      Isi minyak kenderaan secukupnya.

Bagi anda yang perjalanan ke kampung halamannya agak jauh dan akan melalui lebuhraya, anda perlu pastikan minyak kenderan anda diisi dengan secukupnya. Ini kerana kebanyakan stesen minyak di lebuhraya terletak agak jauh antara satu stesen ke satu stesen yang lain.

kadangkala anda perlu menunggu terlalu lama untuk mengisi minyak kerana faktor jumlah pemandu yang ramai. Jika anda memandu keluar dari lebuhraya dan mencari stesen minyak ia akan memakan masa dan akan melambatkan waktu perjalanan anda ke kampung halaman.

 

                                                            

 

 

 

4.      Pastikan semua pintu dan tingkap rumah berkunci sebelum meninggalkan rumah.

Perkara yang paling penting untuk anda lakukan ialah membuat semakan akhir pada setiap pintu dan tingkap rumah anda telah dikunci dengan baik. Apabila musim perayaan, kadar jenayah seringkali meningkat dua kali ganda lebih banyak daripada hari biasa. Pastikan juga mangga yang digunakan untuk kunci pintu itu kuat dan kukuh.

 

5.      Cabut kepala tong gas.

Perkara ni Nampak remeh je kan? Tapi cuba anda bayangkan kalau tidak dicabut boleh mengakibatkan anda mengalami kerugian beratus ribu ringgit tau. Nak tahu sebab apa? Sebab, anda tidak tahu jika berlaku kebocoran gas atau masalah lain ia akan mengakibatkan berlakunya letupan di dalam rumah anda. Jadi, sebelum anda balik ke kampung, apa salahnya kalau anda buka dahulu kepala tong gas dan simpan di tempat yang selamat.

 

                                        

 

6.       Tutup suis dan cabut semua plug dari soket.

Kadangkala kita terlalu memandang remeh berkaitan dengan isu mencabut plug dari soket dan mematikan semua peralatan elektrik. Kalau kita mematikan semua peralatan elektrik dan mencabut plug dari soket ni, pertama kita sudah dapat menjimatkan tenaga elektrik yang digunakan.

 

Apabila kita mencabut plug dari soket pula, kita dapat mengurangkan peratusan untuk berlaku kebakaran yang kemungkinan berpunca daripada litar pintas. Perkara ini sama halnya seperti kita mencabut kepala tong gas juga. Mencegah lebih awal lebih baik daripada kita menderita di kemudian hari tau.

 

                                      

 

 

 

7.      Laporkan kepada pihak polis, jiran atau ahli rukun tetangga.

Jika anda sudah merancang untuk bercuti dalam tempoh yang lama, saya sarankan kepada anda untuk pergi ke balai polis yang berdekatan. Untuk apa? Untuk mengisi Borang Maklumat Balik Kampung yang disediakan bagi membolehkan pihak polis membuat rondaan di sekitar kediaman anda semasa ketiadaan anda semasa musim perayaan. Selain itu jika ada jiran-jiran atau mana-mana ahli rukun tetangga yang tidak pulang ke kampung, minta bantuan mereka untuk memantau kawasan rumah anda semasa ketiadaan anda.

 

                             

 

 

8.      Berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

jika anda mahu badan anda kekal cergas dan bertenaga ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, saya sarankan anda dapatkan rehat dan tidur yang cukup dan perkara ini amat penting terutamanya mereka yang akan menempuh perjalanan yang jauh.

 

Kita sedia maklum perjalanan pulang ke kampung amat memenatkan terutamanya ketika musim perayaan kerana seharian berada dalam posisi duduk dalam kereta. Selain itu, kerenah pemandu di jalan raya yang kadangkala dapat mencetuskan kemarahan, kesesakan lalu lintas dan keletihan akibat terlalu lama memandu juga antara faktor badan menjadi lesu.

 

Jadi, berehat secukupnya dan jika anda telah berada dalam perjalanan dan berasa mengantuk atau keletihan berhenti sebentar di R&R yang berhampiran untuk mengembalikan kesegaran tubuh badan anda.

 

                           

9.      Rancang perjalanan.

Sebelum anda ingin bertolak pulang ke kampung halaman, pastikan anda sudah membuat pelan rancangan perjalanan anda. Antara pelan yang perlu anda buat ialah pukul berapa anda akan bertolak, berapa banyak perhentian yang akan anda berhenti dan beberapa perkara lain lagi. Pelan ini membantu anda untuk mengelakkan tersangkut dalam kesesakan dan jika berlaku kesesakan apa alternatif yang akan anda lakukan.

 

Baiklah, setakat ini dahulu perkongsian saya kepada anda. Pesanan saya, jangan jadikan kegembiraan anda untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan Aidilfitri ini menjadi detik terakhir anda bersama keluarga tercinta. Cuba elakkan daripada terlibat dalam perkara yang tidak diingini seperti kecurian, kebakaran dan kemalangan. Namun jika perkara tersebut telah berlaku, itu semua ketentuan takdir Illahi. Kita telah berusaha maka selebihnya kita bertawakal kepada Allah SWT. Apa yang kita mampu lakukan ialah kita cegah semampu kita sebelum terkena. Yang baik itu dari Allah SWT, yang kurang itu dari diri saya sendiri. Semoga perkongsian saya memberi manfaat kepada anda semua insyaAllah. Wallahu ‘Alam.